Bercuti ke Manchester & Edinburgh 2024 (Winter Trip 6hari) - Day 1 & Day 2

Bercuti ke Manchester & Edinburgh 2024 (Winter Trip 6hari) - Day 1 & Day 2

Alhamdulillah, pada November tahun lepas saya selesai membawa trip jalan-jalan waktu winter di Manchester dan Edinburgh selama 6hari.  Entry kali ini adalah berkisarkan serta cerita lebih terperinci mengenai budget flight, penginapan, tempat yang menarik serta diari perjalanan sepanjang tempoh jalan-jalan pada dua negara England dan Scotland.

Pertama saya akan menceritakan tips. Mungkin berguna untuk anda jika masih mahu membuat pengiraan atau travel hacks bagi menjimatkan kocek anda. Tapi kalau tak nak pening kepala, boleh roger captain saya yang menawarkan perkhidmatan private trip untuk lawatan ini. Ketik IG:nazrulakram untuk pertanyaan lanjut.

Tips #1 : Create budget keseluruhan yang sesuai untuk anda. Budget ini merangkumi hotel, teksi, public transport, duit makan, duit belanja seperti barangan yang nak dibeli tiket ke tempat yang ingin dilawati dan yang paling penting duit belanja shopping.

Tips #2 : Buat booking hotel/homestay lebih awal. Anda boleh search dengan menggunakan agoda.com, booking.com, Airbnb atau direct web hotel. Mungkin anda dapat lebih diskaun dengan online booking. Jika ke negara Eropah, terdapat banyak restoran yang Halal. Kalau nak jimat, boleh memasak jika menyewa dirumah yang mempunyai dapur. Tapi ingat, tak kesemua bahan masakan yang boleh dibawa masuk terutamanya daging/ayam walau telah siap masak mahupun pek kilang. 

Tips #3 : Membawa kelengkapan pakaian dan peralatan yang complete. Ini bertujuan untuk mengelakkan pembaziran membeli barang yang sedia ada. Ini juga termasuk ubat-ubatan anda. Perjalanan ketika musim sejuk memerlukan lebih pakaian dan ubatan. Sila bawa air mineral bersama anda kerana air mineral yang dijual rata-rata berharga 2GBP (RM10.00). Tapi kalau habis, korang boleh refill air pada waterstation di station keretapi. Tapi saya elakkan refill pasal nampak tak berapa hygiene. Huhuhuhu...

Tips #4 : Di Negara UK, berbahasa Inggeris tidak menjadi masalah kerana tu memang bahasa dia. Bila travel, saya hanya guna roaming sahaj memandangkan roaming Maxis menawarkan harga reasonable. Walaubagaimanapun, mohon download offline google maps jika tiada liputan rangkaian internet.

Tips #5 : Jika anda ingin memandu di UK, International Driving Permit tidak perlu pun, asalkan korang ada lesen kad. Lesen bentuk digital tidak diterima semasa pengambilan kereta. Jadi sebelum bertolak, korang kena dapatkan kad lesen di JPJ, kalau renyah nak buat, sila buat IDP sahaja dan bayar RM150.  

Setakat ini, pendapat saya Kad Lesen Malaysia sah digunakan pada negara Komanwel. Termasuk UK, Australia, Singapore dan Indonesia. 

Tips #6 : Membawa makanan menjadi satu cabaran untuk ke UK. Setakat ini, beras dibenarkan dibawa masuk ke sana. Cuma bahan yang berunsurkan daging dan daging ayam tidak dibenarkan samada belum masak, dah masak atau pek kilang. Dorang memang tak kasi masuk. 

Manakala makanan berunsur ikan tiada masalah. Korang boleh bawa sardin, makerel, tuna atau ikan kering. Buah-buahan juga tak semua boleh masuk. Kena rujuk pada Kastam mereka disini. 

Semasa lawatan saya, harga tukaran matawang UK 1GBP = RM5.90.

Selesai perihal mengenai tips. Sebenarnya ada banyak lagi tapi nanti saya share pada entry yang lain laa... Now time for telling stories!

Bermula trip kali ini hanya 4orang sahaja dengan semangat untuk melihat perlawanan bola EPL live depan mata. Jadi kami yang masuk peringkat 40an ni tak ada laaa nak backpack sangat. Jadi perancangan kena buat dan sambil-sambil tu boleh laa kami iklankan product kalau sapa-sapa nak join trip Manchester Liverpool Edinburgh tahun 2025 ni.

Tiket dibeli pada bulan 5 lagi memandangkan Saudi Airline buat tawaran baik punya. Harga KL - Manchester KL hanya RM2560. Agak susah nak dapat tiket return pada harga sebegitu terutama turun di Manchester. Biasanya Etihad pun dapat dalam RM3,000. Jimat laa sikit.


3 bulan sebelum penerbangan kami dah settlekan booking hotel dan rumah airbnb. Serta booking rental car.

Kami memilih untuk memandu sahaja sepanjang 5 hari tu pasal senang untuk bergerak pergi ke 6 buah stadium pilihan sepanjang laluan kami ni. Jadi tak perlu kebergantungan pada public transport.

Ayuh mulakan perjalanan!

Bermula di KLIA T1, flight Saudi Airlines (SA) berlepas pada jam 0515pm, maka kami datang awal sekitar jam 0100tengahari untuk settlakan nama rakan bersekutu tertinggal satu huruf dalam tiketnya. Jangan dibuat main nama silap eja atau tertinggal satu huruf. 

Pasal airline akan follow apa nama dalam passport. Nanti saya ajar macam mana untuk meletakkan nama Fisrt Name / Last Name dalam pembelian tiket penerbangan.

Selesai dengan masalah tertinggal 1 huruf, lega dapat terbang hanya kena denda RM100.00 sahaja. Kita bayar saja laa demi impian lencana didadakan. Penerbangan ini rama orang yang akan mengerjakan umrah pasal flight kami akan singgah di Jeddah,. Mohon agar dipermudahkan segalaa jemaah umrah ke rumah Illahi.



Drop luggage, proceed to immigration checkin terus menuju ke International satellite. Kalau travel dengan saya, saya akan paksa semuanya awal pasal saya tak suka ambil risiko lewat atau masalah yang mungkin menyebabkan terlepas flight. Tambah-tambah lagi flight yang jenis connecting flight ni. Leceh ya amat nak berurusan nanti.


Dah selesai semua urusan, barulah kita jalan-jalan, makan dulu dengan cuci mata di HRC KLIA. HRC KLIA ni antara rare item pasal nak beli baju dengan pin kat sini korang kena ada boarding pass international. Tak boleh datang saja-saja ke KLIA pastu nak beli melainkan korang beli dengan personal shopper. Kita cuci mata dulu, nanti balik baru beli. Awal-awal tak mau damage.



Tepat jam 0520pm, penerbangan bersama Saudi Airline yang menggunakan pesawat Boeing 787 ini akan menuju ke King Abdul Aziz Airport Jeddah, disana saya akan transit selama 5jam sebelum pertukaran flight menuju ke Manchester. 


Penerbangan KL ke Jeddah mengambil masa selama 9jam noksss... ada 2 kali meals dan tiada snack ditawarkan. Melainkan kalau korang mintak kopi atau apa-apa yang boleh dimakan. Tapi kalau mintak snack pastinya korang akan kecewa jua. 


Boeing 787 SA ni mempunyai susunatur seat 3-3-3, ada flight entertainment dan inflight meals/. Saya bagi rating 6/10 sahaja untuk pilihan movie/tv manakala dari segi makanan pula 8/10. Menu makan lebih kepada arabian tapi padat dan padu. Roti boleh mintak banyak, air free flow asalkan masa dorang tengah tolak troli tu.



Kalau hangpa minta time orang semua dah selesai  makan, dorang akan serve juga kopi/teh base on request, tapi depa bagi muka macam nak boh penampaq kat korang. Memang stewardess muka tak mesra alam pun. Huhuhuhu! 

Dalam masa sama, kesemua penumpang akan mendapat flight amenities, selimut dan juga selimut tebal. Dah jarang flight long haul bagi amenities untuk kelas economy ni. Dulu-dulu ada laa skang dah tak banyak atas faktor penjmatan. 

Disebabkan flight ini menuju ke Jeddah, nanti akan ada announcement dimana para jemaah perlu memasang niat umrah bila tiba di Miqat. Pada bahagian belakang ada ruang solat, tapi mostly digunakan untuk mereka yang sedang memakai kain ihram.


Bila tiba di Jeddah Airport, saya terus menuju ke transit kaunter untuk mendapatkan gate departure ke Manchester. 

Jeddah Airport ni sangat besar, boleh dikatakan setanding dengan Dubai Airport tapi ianya agak kosong. Tidak meriah seperti mana-mana transit Asia Europe lain. Mungkin airport dibesarkan untuk menampung jemaah Haji dan pembangunan masa depan. Tak banyak kedai makan, cafe mahupun shopping area. Bagi saya agak suram sebenarnya. Berbeza dengan Riyadh Airport yang lebih kepada transit international.

Dari Jeddah Airport ni ada train untuk menuju ke Haram-main dan Madinah. Dari sini kita boleh mendapatkan vis on arrival yang boleh digunakan untuk ke Tanah Suci Mekah. Tapi kadar minimum transit untuk keluar dari airport adalah 6jam.

Kami berkelanan sahaja menunggu flight ke Manchester pada jam 0800am. Tidur, makan, ngupi tidur balik.



Jam 0800am penerbangan mula berlepas ke Manchester. Flight duration ke sana mengambil masa lebih kurang 5jam. SA menyajikan 2kali meals, 1x makan full meals dan 1x snack berupa pizza/sharwama gitu. 

Flight ke Manchester agak berbeza kerana ramai orang arab yang mungkin baru menunaikan umrah. Depa ni kalau naik flight memang tak reti duk diam betul. Jenis suka letak kaki pada kerusi, kalau nak bangun bergoyang bergoncang seat bagai semua. Hareyyy betui!


Manchester Aku Tiba!

Alhamdulillah, tepat jam 1250pm penerbangan SA smooth landing di Manchester Airport. Suhu pada waktu tengah hari bawah 10c. Terus sarung jaket dulu walau dalam airport. Saya lebih gemar menggunakan roaming untuk mendapatkan internet di negara asing.

Ini kerana harga roaming dah murah, samada Maxis, Celcom mahupun Digi. Biasanya pihak telco menawarkan 2GB sehari, kalau sewa portable roaming boleh juga, capping data pun sama 2GB cuma leceh nak kena charging device dia lagi. Lepas tu kadang ada harga untuk sewa device dia beserta data. Baik roaming saja mudah dan senang.

Sebelum terbang Manchester, saya telah menyediakan kesemua dokumen lengkap kami seperti tiket return, booking hotel, tiket masuk stadium dan beberapa dokumen sokong sebagai preparation untuk rujukan pegawai imigresen.


Masa semakan passport imigresen, Alhamdullilah depa tak mintak semua tu, hanya tanya nak pergi mana dan bekerja sebagai apa sahaja. Terus bunyi stamping pada kesemua passport yang mengukir senyuman dalam hati. Pickup luggage dan melepasi laluan kastam. Tiada apa nak declare pasal hanya bawa tuna sandwich, maggi dan biskut saja.

Seperti yang saya cerita pada bahagaian tips, kami menyewa kereta sepanjang perjalanan kami untuk memudahkan pergerakkan, jadi kami perlu ke Car Rental Village yang terletak bersebelah dengan Manchester Aiport. 



Saya menyewa SUV dengan car rental Sixt. Korang boleh bandingkan harga dengan rentalcars.com kat sini, lepas tu buat booking kereta direct pada pihak penyewa kereta tu untuk memudahkan urusan manage booking nanti. Rentalcars.com ni hanya agent cari kereta murah saja seperti Agoda.com atau Booking.com

Untuk ke Car Village, korang boleh naik shuttle bus percuma untuk ke sana. Hanya tunggu di signboard yang dorang sediakan, kekerapan bas datang dalam 10-15minit. Cuma kena tarik luggage naik bas sekali ler. Kalau ramai, saya sarankan hanya wakil sahaja pergi pickup kereta. Lepas dapat kereta korang datang laa balik amik semua orang tu.



Urusan pickup kereta smooth saja. Di UK dorang tak perlukan Internatinal Driving Permit (IDP) kerana lesen kita agak berkuasa... hahahaha tapi kalau pergi ke Negara EU wajib kena ada tu. Bila terima kereta, sila rakam video seluruh kereta untuk mengelakkan masa drop-off ke charge pasal rosak ataupun pecah. 



Memang saya sewa dengan insuran sekali, tapi mana tahu tiba-tiba masa dapat kereta dah ada calar-balar ke, nanti kita pula dituduh careless. Maka video penerimaan adalah sebagai bukti untuk rujukan kelak. 

Dari segi sewa kereta, saya sarankan sewalah dengan insuran sekali. Penat bercerita dan menjawab soalan yang bertanya. Memang nampak mahal sikit tapi kena ambil risiko. Beza harga mungkin RM200-RM500 tapi jika berlaku kemalangan, kita perlu keluarkan duit untuk bayar kereta dilanggar dan kereta kita. Harga bukan lagi RM lagi dah, dah jadi GBP ribuan ringgit. Jangan kedekut, nak travel memang perlukan belanja lebih!

Dah dapat kereta baru, terus rasa auto kaya. Kereta jenis Peugeot 3008S ni lawa pula dashboard dia sia pada panoramic screen. Tak sempat nak layan screen dia saya terus memandu menuju ke Old Trafford.


Wait For Me Old Trafford!

Airport ke Old Trafford tak jauh. Mengambil masa lebih kurang 30minit saja. Ini adalah itinerary pertama pasal cuaca pada musim sejuk cepat gelap. Maka kami mengambil peluang untuk ke Old Trafford dulu - untuk bergambar sebagai tanda hadir. Nanti saya share cara memandu di negara UK.


Sampai saja di Old TRafford, saya mengambil peluang untuk bergambar sebagai tanda hadir kepada haters MUFC... hHahahahahaha!

Suasana kat sini bertambah sejuk pasal matahari mula gelincir menandakan dah mula nak gelap. Suhu sekitar 5c kadangkala berangin. Sejuk dia tak leh bincang. Saya hanya memakai long sleeve dan menyarung jaket MUFC sahaja kerana nak bergambar. Winter jaket duk dalam kereta pulak noks!





Maka tak lama pun kami diluar, terus masuk ke MegaStore untuk memanaskan badan. Dalam ni agak selesa sikit untuk berteduh dari kesejukkan. Apa lagi, walau baru sampai kita beli laa dulu barang dalam MegaStore. Lagi 5 hari akan kesini lagi pasal datang nak tengok Game MUFC lawan Everton. pula. 



Masa datang macam cerah la sikit, bila keluar saja MegaStore terus gelap dah walau jam 4 petang. Perut pun mudah lapar jugak time ni. Maka kami singgah beli burger ayam halal tak jauh dari tempat parking kami. Dalam masa sama kami beli roti, telur di Lidl untuk masak di rumah Edinburgh nanti. Abam beli kopi bancuh satu buat raso-raso.




Jangan risau, makanan halal di UK memang sangat mudah. Ada banyak kedai dan restoran halal. Korang boleh search saja dalam google maps tapi kalau rajin boleh ler buat research dalam Tiktok atau Instagram. Tapi biasanya tiktok atau IG tunjuk kedai yang sedikit pricey. Kalau kedai tak glamour ni boleh dapat harga burger bawah GBP7.00, itu pun dah RM35 kauuuu lepas convert. Makan burger ayam pun RM35.. Uhuk uhukk uhukkk

Menuju ke Edinburgh Scotland.

Usia selesai makan dan beli barang masak, terus menuju ke Edinburgh dengan jarak perjalanan lebih kurang 4jam. Saya pass pemanduan kepada Usop. Mata layu lepas makan nak lelap kejap. 

Dalam 1jam lebih, Usop dah surrender mata dah mula rabak pasal jet-lag dah bermula. Waktu ketika itu dah masuk 0700pm UK, waktu Malaysia 0300pagi. Waktu ini dipanggil waktu kritikal. 

Sebenarnya, tidak digalakkan sangat bila tiba dari penerbangan long haul, terus memandu dengan jarak jauh. Agak bahaya sebenarnya pasal badan memerlukan waktu rehat yang cukup. Jadi pengiraan kami sebenanrya silap dan berharap ada 4orang yang boleh bergilir-gilir drive. 

Jika anda hanya seorang saja drive, tak boleh ikut cara ini pasal kita pasti akan jet-lag dan badan rasa cepat lesu-penat duk dalam flight yang lama.

Pertukaran pemandu dibuat, saya beli kopi dulu di Greegs Shell, letak 2shot Black Coffee terus. Perjalanan berbaki 2jam 30minit kita layan. Nasib baik badan saya dah recharge masa Usop drive tadi. Ada kopi sebagai booster.


Alhamdulillah sampai di guesthouse Edinburgh pada jam 0930malam. Sejuk dia tika ni cecah 1celsius bang. Keluar kereta checkin masuk rumah tu rasa macam nak krem badan. Fuhhhh memang sejuk di Scotland ni. 

Dah 2 hari tak mandi sejak berlepas dari KLIA. Walaupun sejuk, masih ada airpanas dan steamwap. Saya tetap mandi untuk keselesaan badan. Guesthouse ni ada 2bilik tidur dan 1 tandas. Dalam terms Airbnb, rumah 2bilik tidur ni occupied max 5orang. Kalau korang nak duduk ramai-ramai sampai 8 orang tu memang tak boleh. Nanti tuan rumah tahu, tak pasal kita kena keluar rumah. 


Rehat badan, mandi, solat jamak, minum milo panas memang terasa selesa untuk tidur yang berkualiti.

This is Awesome gais

Bercuti ke Manchester & Edinburgh 2024 (Winter Trip 6hari) - Day 1 & Day 2
Bercuti ke Manchester & Edinburgh 2024 (Winter Trip 6hari) - Day 3
Bercuti ke Manchester & Edinburgh 2024 (Winter Trip 6hari) - Day 4
Bercuti ke Manchester & Edinburgh 2024 (Winter Trip 6hari) - Day 5
Bercuti ke Manchester & Edinburgh 2024 (Winter Trip 6hari) - Day 6

Comments

Agoda

Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts from this blog

Tempat Sarapan Pagi Best di Kota Bharu (UPDATE MEI 2022)

Destinasi 24 Jam : Pulau Pangkor, Perak

Tempat Makan Best di Kedah (UPDATE JAN 2022)

Bercuti ke Hatyai Thailand 2022 - Day 1

Bercuti ke Tokyo, Jepun 2023 - Day 1