Destinasi 24 Jam : Pulau - Pulau Mersing Johor
Destinasi 24 Jam : Pulau - Pulau Mersing Johor
Baru-baru ni abam buat trip jalan-jalan telan air masin di pulau-pulau sekitar Mersing. Ada banyak pulau kat Mersing ni dan kalau naik bot tak jauh mana pun. Tak macam Tioman sampai 2 jam lebih.
Apa yang saya nak share kat sini adalah nak ronda-ronda bergolek di pulau boleh dilayan pada masa weekend saja. Tak perlu nak setup 4 ke 5 hari pun melainkan pulau pulau di Sabah nun.
Setahu saya, ada 2 pakej yang ditawarkan untuk melawat pulau Mersing ni iaitu yang jenis santai atau jenis adventure. Kalau korang suka adventure, korang boleh pilih pakej yang ada hiking di Pulau Seri Buat. Pulau Seri Buat ni ada hiking untuk dapat mesmerizing view dari puncak bukit. Boleh ler nak ootd macam Bohey Dulang.
Kalau nak santai, rileks-rileks boleh layan Pakej 5 Pulau yang mana pakej ini berharga RM150 dan akan melawat 5 jenis pulau iaitu :
1. Pulau Harimau - (Jump Cliff) Korang boleh layan berenang masuk gua dengan lompat dari jurang batu. Kalau berani panjat lagi tinggi.
2. Pulau Rawa - Maaf pulau ni milik peribadi dan tak boleh landing, hanya cukup sekadar ronda tengok orang berjemur dengan lepak kat pantai dorang saja. Banyak duit boleh datang kat sini.
3. Pulau Tengah - Kat sini ada pantai sandbank yang mana korang boleh ootd pasir pantai warna putih. Agak best jugak pasal perairan pantai sini cetek.
4. Pulau Ujung - Dimana pulau untuk korang lunch, snorkeling dengan mandi pantai.
5. Pulau Besar - Pulau yang ada resort kalau nak bermalam dan juga boleh lepak santai layan air kelapa dengan healing.
Okay, perjalan saya ni kira bermula dari Mersing laa yer. Kalau korang drive dari Kuala Lumpur, perjalanan mengambil masa lebih kurang 5jam, boleh pilih nak lalu kluang ke atau ikut Muazam Pahang. Pandai - pandai laa ikut route map korang yer. Tapi saya syorkan lalu ikut Kluang lagi santai dan banyak tempat nak rehat seperti solat dengan restoran.
Dari segi penginapan, boleh pilih nak duduk di bandar Mersing atau di pantai Air Papan. Kalau stay di Air Papan, pantai dia cantik dan berpasir berbanding pantai di bandar Mersing lebih kepada pasir lumpur. Pada lawatan saya haritu, kami stay di pantai Air Papan. Ada banyak resort murah-murah. Buka website agoda dan bayarkan saja kalau setuju. Setakat ini tiada hotel atau resort 5 bintang di Mersing melainkan di pulau-pulau sahaja.
Ada juga orang tanya saya, boleh ker naik bot, stay di pulau dan amik pakej snorkeling. Boleh ajer dik janji ko bayar apa yang dia bagi harga. Apa yang tak bolehnya. Asal duit jalankan saja. Cuma tak dapat laa harga RM150.... mungkin akan jadi RM1000 gitewwwww
Berbalik kepada perjalanan destinasi 24jam ni.
Bot ke pulau biasanya berlepas dari Jeti Mersing, maka korang kena drive dan park sekitar kawasan jeti tu. Boleh parking kereta di Plaza d'Jeti, sehari RM15 bayar kat penjaga pintu. Kalau ada petak kosong kat luar boleh saja parking, harga tetap sama juga RM15 per day bayar guna kupon Majlis Perbandaran Mersing.
Disebabkan waktu pagi nak naik bot dengan layan snorkeling, maka saya elakkan untuk heavy breakfast. Risau apa yang masuk, keluar balik kat dalam bot. Kalau korang perut kental layankan saja. Breakfast kami makan di kawasan Jeti Mersing. Kat situ ada food court. Harga murah saja. Waktu pagi ramai laa kat food court tu pasal semua pengunjung pulau akan berkumpul depan food court ni.
Tepat jam 0900pagi, agent kami pass tag tangan taman negara (yang ni dah bayar termasuk pakej) Wajib pakai sepanjang perjalanan korang. Dah pakai ada short breifing pasal activity, keselamatan dan peraturan-peraturan sepanjang aktiviti laut ni.
Boarding boat kat jeti Mersing smooth sahaja. Pada hari saya pergi tu Alhamdulillah cuaca berawan mendung tapi tak hujan. Ombak pun okay sahaja. Jeti Mersing ke pulau sekitar sini hanya mengambil masa 30minit saja. Tak jauh macam pulau-pulau di Mabul Sabah
Baca jalan - jalan saya ke Pulau Mabul Sabah disini.
Pulau Harimau
Lawatan pulau pertama adalah Pulau Harimau. Kat sini aktiviti discover gua dengan jump cliff. Pulau ni bagi saya cantik, menarik dan mesmerizing pasal dari jauh masa nak tiba dengan boat tu macam sebuah pulau di Scotland. Atau dengan lebih tepat macam pulau dalam movie Star Wars : The Last Jedi yang mana Rey mencari tempat persembunyian Luke Skywalker. Kalau nak saya cerita pasal Star Wars ni, mau 20kali korang scroll page ni kang.
Ada sebuah lighthouse puncak pulau ni dan tangga untuk naik ke lighthouse. Tapi kerajaan Johor tidak membenarkan mana-mana bot atau pengunjung untuk singgah dan naik. Dulu boleh, skang dah tak boleh. Orang sini panggil pulau 400, pasal 400 anak tangga.
Jadi bot akan berhenti di belakang pulau ni untuk kita discovery gua dengan jump cliff. Korang boleh panjat batu dan lompat dari batu ni tapi berhati-hati pasal batu kat sini bukan jenis 90degress. Jadi kena lompat jauh yer.
Maaf saya tak amik video atau gambar masa dalam gua pasal malas nak pakai waterproof casing. Jadi kalau nak tahu boleh tengok tiktok search saja pulau harimau. Senang je kan. Fakta menarik pasal gua ini adalah ianya boleh pakai kalau Liverpool dengan Arsenal kalah kena belasah dengan Man U.
Pulau Rawa
Dah berenang dengan telan air masin, perjalanan pulau diteruskan. Pulau kedua adalah pulau lawatan sambil melihat sahaja yang mana bot sekadar lalu pass-by iaitu Pulau Rawa. Ramai kalangan kita dah kenal Pulau Rawa adalah private island.
Mana-mana bot service tak boleh datang dekat dengan touchdown pulau ini melainkan tetamu untuk check-in. Jadi kami hanya boleh tengok saja orang-orang kaya yang bersidai dengan mandi laut kat sini. Menyedihkan bukan.... Kalau nak stay, boleh tengok pakej disini.
Pulau ini juga dikatakan dimilik oleh Sultan Johor, jadi tidak hairan resort disini sememangnya sangat privacy.
Pulau Tengah
Dah cuci mata tengok pulau Rawa, maka perjalanan bot tiba di Pulau Tegnah yang mana pulau ini adalah jenis pulau kecil yang mempunyai sandbank. Ape benda tu sandbank? Aaa sandbank ni jenis pantai cetek sehingga muncul pasri-pasir atas permukaan laut. Korang google dan tengok image.
Sandbank ni ada banyak kat Malaysia, Redang ada, Timba Timba Sabah ada... biasanya sandbank ni mempunyai kawasan perairan cetek sebab tu munculnya pasir. Tapi bagi saya, Timba-Timba Sabah adalah sandbank paling cantik di Malaysia. Panjang sandbank dia.
Disebabkan itu juga, kalau nak lepaskan anak-anak main pantai kat sini sangat confident kalau tak pakai lifejacket. Air dia cetek dan malah pasir dia juga sangat halus dan lembut.
Korang boleh snorkeling dengan mandi pantai bergolek-golek. Pulau Tengah ni juga ada sebuah resort untuk orang ramai iaitu Batu-Batu Resort. Harga saya tak pasti berapa. Macam bosan teruk je kalau stay.
Pulau Ujung
Pulau ini adalah pulau untuk kami berhenti makan tengahhari. Lupa nak bagitau, pakej yang saya ambil ni dia termasuk makan tengahhari dengan free flow snack. Ye ada snack all of time dalam bot macam kek apollo, roti samada korang makan atau nak bagi ikan makan, ada air kotak dengan mineral sekali.
Kalau habis, dorang akan topup lagi dari bot bot lain. Snack kena ada dalam bot pasal nak hilangkan rasa mual, pening mabuk laut bagai.
Habis je makan, korang boleh sambung snorkeling depan pantai ni saja. Pulau ni best pasal ikan dia banyak betul. Serius banyak bang ko bawak aje roti dengan makanan. Semua dia telan wey.... DAri atas bot pun dah boleh nampak clear ikan-ikan.
Dari pantai tu boleh jalan dengan berenang ke tengah sikit untuk view coral. Masa saya tengah snorkeling, skali kaki terpijak pulak landak laut. Kena laa 1 duri masuk kat tapak kaki. Mula-mula terasa kena sengat, masih layan snorkeling lagi.
Pastu bila dah naik darat, pijak pasir. Terasa sikit dia punya bisa dah mula gigit. Tak leh blah ni, karang lagi sakit pulak. Jangan panik, bagitau je budak bot. Abang bot buat rawatan tradisional untuk hilangkan bisa dia dengan memukul tapak kaki dengan kayu.
Ada jugak orang cakap, kalau kena duri landak laut ni, ko kencing saja kat tempat kena tu... Hahahaha kalau dah terdesak memang buat. Tapi abang bot cakap ketuk saja dah ok... nanti duri bisa dia rapuh pecah hilang lah bisanya.
Alhamdulillah memang menjadi, tak lama pun... layan Nazril main pantai terus sambung balik snorkeling. Terbaikkk bang!
Bagi saya Pulau Tengah ni best dan santai. Ada pokok-pokok yang korang boleh lepak untuk berteduh layan makan nasik pastu korang boleh berenang terus untuk snorkel. Kalau ada modal, mungkin boleh upgrade sikit untuk lapangkan kawasan semak samun supaya orang boleh lepak berehat.
Skang ni boleh aje nak tido bawah pokok semak-semak, risau ada ular ajer... mana tau tiba ada ular laut. Nasib tak baik kena patuk makan tak habis mat. Terus bungkus....Korang bawak saja tikar atau picnic map.
Pulau Besar (Pulau Babi Besar)
Destinasi terakhir adalah Pulau Besar atau nama komersial lama adalah Pulau Babi Besar. Pulau ini ada 3 resort kalau tak silap saya, iaitu, D'Coconut Resort, Aseania Resort dan yang baru adalah Alun Alun. Juga ada perkampungan di pulau ni. Bot akan berhenti lama di pulau ini untuk korang ootd, nak membuang ke, nak solat ke malah nak makan kalau tak cukup.
Masa tiba kat sini, saya lepak di D' Coconut layan aiskrim. Bagi saya, harga jualan di pulau ini masih lagi reasonable. Kat sini mula ramai kelibat mat salleh yang bersidai, duduk kat lounge dengan lepak di cafe resort. Macam di Pulau Tioman, ramai juga mat salleh datang ke pulau untuk lepak amik feel vibes nak lari dari musim sejuk.
Baca jalan-jalan saya ke Pulau Tioman disini
Pulau Besar ni tak macam pulau pulau besar macam Tioman, Pangkor mahupun Langkawi. Kalau ikutkan lengkap laa jugak fasiliti dorang dan kalau korang bermalam kat sini, mungkin bila masuk hari ke 3 dah mula tepu kot. Huhuhuhu.... Tapi kalau korang jenis sukakan pantai 24jam mungkin sesuai untuk lepak kat Pulau Besar ni.
Kalau rasa bosan sangat, korang boleh cuba untuk sewa basikal dan kayuh dari hujung ke hujung kampung. Tak jauh mana pun pasal akan bertemu jalan mati. Masa saya ronda-ronda sekitar chalet Pulau Besar, ada nampak trail untuk hiking pada beberapa bukit kat sini. Boleh ler korang nak cuba.
Biasanya bot akan lepak sini dalam 2 jam untuk berehat. Jadi masih sempat juga kalau korang nak mandi manda itupun kalau cuaca tak panas lit lit.
Pada waktu petang ni, cuaca kat tanah besar pun macam dah mula hujan, jadi brader bot pun panggil untuk pulang ke jeti Mersing kalau tak nak dilambung ombak tak berapa rindu.
Alhamdulillah, perjalanan balik tu sedikit hujan, tapi ombak masih dalam keadaan terkawal.
Bila tiba di jeti, korang boleh cuci badan atau salin pakaian dikawasan jeti ni. Ada tandas dan juga surau kalau nak solat. Kalau malas, terus boleh balik hotel mandi ler korang kat hotel korang lagi selesa.
Pantai Air Papan
Waktu petang tu saya dengan wife lepak kejap di pantai Air Papan untuk layan sea breeze. Best jugak pantai sini pasal dia jenis landai dan walaupun pada hujung minggu, tak ramai orang di kawasan pantai ni. Tak macam di Kuala Terengganu dengan Kuantan. Penuh dengan manusia.
Kalau ada kudrat boleh ler nak layan mandi pantai. Tapi cukup laaa, dalam perut ni pun dah penuh dengan air masin haaaa. Tuang pulak kopi bercampur aduk dalam ni. Tanya jugak si Nazril, dia pun penat taknak mandi dah.
Untuk makan malam, ada banyak kedai seafood yang korang boleh layan. Korang pergi saja kat Pantai Tanjung Genting. Sepanjang pantai tu ada banyak kedai makan antara yang saya perasan Grato Cafe Western Food - kalau nak makan western, Warung Tepi Kubur - masakan thai dengan nasi lemak.
Malam tu kami singgah makan di Restoran Brother Joe Ikan Bakar. Restoran ni kena datang awal, kalau datang 0900 keatas memang penuh meja time weekend. Sini ada ikan fresh dengan sotong fresh dari jeti Mersing. Harga pun murah mungkin pasal dapat harga direct dari peraih. Recommended penuh!
Maaf tak amik gambar kat restoran ni memandangkan saya lapar dan makan dengan gelojoh.
Pada pagi keesokkannya, saya hanya light breakfast dengan makan roti canai tak jauh dari chalet kami stay. Tak makan banyak pasal simpan perut untuk brunch di Kluang Railway Coffee nanti.
Process check-out berjalan lancar, packing dan terus drive ke bandar Kluang. Mersing ke Kluang hanya 1jam 15minit sahaja. Tak jauh mana pun kan.
Kluang Railway Coffee, Kluang
Seperti sangkaan saya, dari jauh dah nampak orang beratur nak layan kopi kluang ni. Parking saja dalam station lama dia ni. Mungkin pasal dah sampai pada jam 11pagi. Maka orang beratur pun bukan level nak beli tiket Muse! Hanya ambil masa 20minit saja nak beratur.
Macam biasa, saya akan order bun, wantan dengan kopi ais kat sini. Bagi saya, kopi dia memang sedap dan bold. Sesuai dengan cuaca panas, kena pulak roti bun fuhhh cukup padu bang. Nak ulas banyak-banyak boleh baca pada review saya pasal Kluang Railway Coffee ni haaa.
Maka, habis sudah perjalanan island trip kami selama 24jam pada hujung minggu. Sebenarnya, nak merancang destinasi atau short vacay tak susah mana pun. Cukup ada google maps settle terus. Nak tak nak saja.
InsyAllah next year kita try Redang dan nak stay di pulau pula. Kena pergi tahun depan pasal ni dah nak masuk monsoon dah pun. Karang pergi tak kembali naya geng.
This is awesome gaiss...!
Comments